Karangan SPM - Hormati Guru

 Soalan :

Cara Pelajar Menghormati Guru

Guru merupakan seorang insan pendidik di sekolah. Mereka mencurahkan segala ilmu pengetahuan demi anak bangsa.

Bincangkan cara-cara pelajar menghormati guru.


Isi : 

  1. Bersopan santun dengan guru
  2. Mematuhi peraturan sekolah
  3. Menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah
  4. Memberikan kejayaan akademik dan kokurikulum


Karangan :

     Jak ratusan purnama kebelakangan ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa nilai menghormati guru kian luntur dalam warga sekolah. Jika diimbas melalui portal masa, ibu bapa pada zaman dahulu akan menyerahkan sepenuhnya kuasa autonomi kepada guru-guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Namun, mutakhir ini, budaya tersebut seolah-olah diterbalikkan apabila para guru pula yang dipersalahkan kerana menghukum pelajar apabila mereka melanggar peraturan dan sebagainya. Guru diibaratkan seperti lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi hidup pelajar yang disayangi agar setiap langkah adalah benar pada tempat dan rentaknya. Oleh itu, setiap individu yang bergelar seorang guru hendaklah dihormati kerana terlalu besar jasa dan pengorbanan yang telah mereka lakukan demi mendidik anak bangsa. Sehubungan dengan itu, kita sebagai seorang pelajar seharusnya mengetahui adab-adab semasa berguru.


     Kesopanan dan kesusilaan merupakan perkara kelima dalam Rukun Negara. Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, kita sewajarnya berpegang teguh kepada Rukun Negara dalam menjalani rutin harian. Para pelajar juga digalakkan untuk sentiasa bersopan santun apabila berkomunikasi dengan guru. Sebagai contoh, pelajar hendaklah menyapa guru dengan panggilan cikgu, tuan atau puan serta menggunakan nada yang rendah dan jelas ketika bercakap. Apabila kita bersopan santun dengan guru, mereka pastinya akan berasa senang hati dan akan melayani kita dengan penuh rasa kasih sayang dan ikhlas dalam mendidik kita. Sementelahan pula, pelajar yang bersopan santun juga dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah kerana guru tidak perlu lagi memikirkan cara untuk menguruskan sahsiah para pelajar.


     Selain itu, para pelajar perlu menghormati guru dengan cara mematuhi peraturan sekolah. Hal ini demikian kerana pelajar pada masa ini sukar untuk mematuhi arahan dan peraturan yang mudah tamsil beratur dan tidak membuat bising. Keadaan ini merupakan satu bebanan yang telah ditambah kepada para guru untuk ditanggung bagi menguruskan sahsiah pelajar. Justeru, sekiranya para pelajar mematuhi peraturan sekolah dan arahan guru, mereka dapat membantu memudahkan urusan guru . Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa masuk telinga kanan, keluar telinga kiri yang bermaksud nasihat yang diberi tidak didengari dan diamalkan. Sikap negatif ini perlu dielakkan terutamanya dalam kalangan pelajar kerana usia mereka baru setahun jagung, darah setampuk pinang.


     Pada masa yang sama, para pelajar sewajarnya menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah sebagai tanda menghormati guru-guru. Misalnya, bilik darjah yang ceria dan bersih dapat memberikan keselesaan kepada guru dan juga kepada pelajar itu sendiri bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini sedikit sebanyak membantu guru supaya berasa lebih selesa dalam menjalankan tugas mereka. Para pelajar juga dapat menumpukan lebih perhatian kerana keadaan bilik darjah yang kondusif. Impaknya, aktiviti pembelajaran yang lebih seronok dapat dilaksanakan serta dapat menarik perhatian kedua-dua belah pihak sama ada guru mahupun pelajar semasa sesi persekolahan berlangsung. Nilai kebersihan dan ambil berat terhadap kebajikan ini bukan hanya merupakan tanggungjawab penuh seorang guru tetapi juga adalah amanah kepada setiap ibu bapa yang dikurniakan zuriat agar menjadi khalifah di muka bumi ini.


     Akhir sekali, cara untuk menghormati guru adalah dengan memberikan kejayaan akademik atau kokurikulum kepada mereka. Apabila kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang atau memenangi sesebuah pertandingan yang disertai, perkara ini pasti dapat memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada mereka. Apabila kita mengharumkan nama sekolah, guru pastinya akan berasa bangga kerana berkat tunjuk ajar mereka, usaha pelajar telah membuahkan hasil. Hal ini pasti tidak merisaukan lagi para guru kerana jika asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Perkara ini akan menjadi memorobilia antara pelajar dan guru. Intihannya, setiap guru hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk melihat anak didiknya menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.


     Tuntasnya, rencaman adab boleh diamalkan oleh para pelajar untuk menghormati guru-guru di sekolah. Hormat menghormati merupakan satu nilai asas kehidupan yang wajar diamalkan oleh setiap individu. Apabila kita menghormati seseorang, nescaya mereka juga akan menghormati kita. Kalau sudah delima yang ditanam, takkanlah peria pahit pula yang tumbuh. Pengorbanan dan jasa yang telah dilakukan oleh para guru wajar diberikan penghargaan dan penghormatan kerana pendidikan adalah tunjang kepada kehidupan seseorang. Persis peribahasa, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Semoga kita menjadi uswah kepada generasi hari ini dan yang akan datang supaya menghormati guru kerana perkara ini akan mendatangkan banyak manfaat tanpa kita sedar.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog