Karangan SPM - Kebersihan Di Persekitaran Rumah
Soalan :
Cara-Cara Memastikan Kebersihan Di Tempat Tinggal Terpelihara
Rumah merupakan keperluan asas manusia. Keadaan persekitaran yang bersih dapat melahirkan keluarga yang bahagia. Sebagai anggota keluarga, bincangkan cara-cara yang boleh dilakukan untuk memastikan kebersihan tempat tinggal terpelihara.
Isi :
- Mengadakan gotong-royong
- Menanam pelbagai jenis tanaman berbunga dan sayur-sayuran
- Mengumpul tin-tin dan botol-botol kosong
- Membuang sampah sarap
Karangan :
Kebersihan merupakan perkara yang amat vital terutamanya kebersihan di rumah. Kebersihan di rumah perlu dijaga bagi mengelakkan rencaman jangkitan penyakit. Hal ini dapat menjamin keluarga yang lebih ceria dan bahagia. Sesungguhnya, kebersihan rumah harus dijaga supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Lantaran itu, persis peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Cara pertama yang berkesan untuk menjaga kebersihan tempat tinggal ialah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Gotong-royong ini bertujuan untuk memastikan kerja-kerja dapat dilakukan dengan mudah dan pada masa yang sama dapat membersihkan kawasan persekitaran. Apabila adanya aktiviti gotong-royong ini, aktiviti mencuci serta aktiviti yang lain akan dapat dilaksanakan dengan cepat. Hal ini dapat menjimatkan masa kerana bertepatan dengan aforisme masa itu emas.
Selain itu, kawasan persekitaran rumah yang dijaga dengan baik sudah tentu dapat menjamin suasana persekitaran yang bersih, cantik dan harmoni. Apatah lagi jika dihiasi dengan landskap atau taman bunga-bungaan yang cantik dan menghijau. Tambahan pula, tanaman yang ditanam merupakan tanaman sayur-sayuran. Contohnya, tanaman seperti terung, kacang panjang, cili, bendi dan banyak lagi sayur yang boleh ditanam di belakang halaman rumah. Kewujudan taman bersayur ini, membolehkan kita menjimatkan kos perbelanjaan ketika keluar membeli barangan dapur.
Seterusnya, tempat-tempat air yang bertakung boleh menyebabkan pembiakan nyamuk. Nyamuk aedes gemar membiak di dalam tin-tin kosong dan botol-botol yang tidak ditutup. Oleh sebab itu, kita hendaklah mengumpul tin-tin dan botol-botol kosong, tayar buruk dan sebagainya. Barang-barang yang disebut sebentar tadi boleh dikitar semula, sekali gus dapat menyelamatkan alam sekitar. Oleh itu, kita haruslah mengatasi masalah air bertakung kerana bimbang akan dihuni oleh nyamuk dan masyarakat akan mudah dijangkiti penyakit denggi.
Cara yang berkesan juga adalah dengan membuang sampah sarap ke dalam tong sampah. Apabila sampah telah memenuhi tong sampah, kita haruslah mengikat beg plastik dengan ketat dan membuangnya ke dalam tong sampah besar yang disediakan di luar rumah. Oleh hal yang demikian, kita boleh mengelakkan pembiakan lalat yang membawa penyakit dan sekali gus dapat membersihkan persekitaran rumah.
Oleh itu, sebagai penduduk yang berperikemanusiaan kita perlulah sentiasa memastikan kawasan tempat tinggal kita bersih dan segera mengambil tindakan apabila mendapati kawasan rumah kita kotor atau sebaliknya. Hal ini akan menjadikan persekitaran rumah kita terjaga dan kita dapat melakukan aktiviti dengan ceria dan selesa.
Comments
Post a Comment