Karangan SPM - Penggunaan Media Sosial
Soalan :
Peranan Ibu Bapa Untuk Mengawal Penggunaan Media Sosial Bagi Anak-anak Yang Masih Bersekolah
Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan media sosial bagi anak-anak yang masih bersekolah
Isi :
- Memberikan didikan agama yang mantap
- Mengehadkan masa penggunaan Internet
- Memberikan pendedahan kepada anak-anak
- Memantau aktiviti yang dilakukan
Karangan :
Penggunaan media sosial sudah menjadi keperluan asas bagi kegunaan murid sekolah untuk belajar dan mencari maklumat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu serangan Covid-19. Media Sosial digunakan sebagai satu alternatif oleh guru-guru untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid. Sebenarnya, penggunaan media sosial memerlukan kawalan dan perhatian daripada kedua ibu bapa kerana perkara ini amatlah signifikan. Apabila ibu bapa tidak mengambil berat tentang penggunaan media sosial bagi anak-anak yang masih bersekolah, minda mereka pastinya akan dijajah oleh anasir luar. Penjajahan minda ini dikatakan lebih berbahaya daripada penjajahan fizikal kerana penjajahan minda bersifat halus dan sukar untuk dikesan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan internet dalam kalangan anak-anak?. Oleh itu, terdapat beberapa peranan untuk mengawal penggunaan media sosial.
Peranan pertama yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlulah memberi didikan agama yang mantap kepada anak-anak sebagai pendinding agar dapat mengelakkan diri daripada dakyah songsang Barat. Internet sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah dikawal. Oleh sebab itu, terdapat banyak laman sesawang yang mengandungi unsur-unsur negatif tersebar dengan begitu meluas di Internet. Melalui didikan agama yang mantap, anak-anak dapat membezakan yang mana antara perbuatan yang keji dan perbuatan yang mulia. Sekiranya anak-anak melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif sudah pastinya perkara ini dapat merosakkan minda mereka dan menyebabkan mereka lalai untuk menunaikan tuntutan agama. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang mantap kepada anak-anak adalah penting bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.
Selain daripada memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak, ibu bapa juga perlu mengehadkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Memang tidak dinafikan bahawa Internet mempunyai pelbagai kebaikan tetapi, ibu bapa perlulah sedar bahawa penggunaan Internet juga boleh mendatangkan rencaman keburukan kepada anak-anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka mestilah menetapkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Sebagai analogi, ibu bapa hanya membenarkan anak-anaknya menggunakan Internet pada waktu-waktu tertentu terutama jika mereka ingin mencari bahan ilmiah ataupun untuk menghilangkan tekanan. Hal ini secara tidak langsung dapat mengajar mereka agar menggunakan masa dengan baik di samping bijak menggunakan Internet. Jadi, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan Internet kepada anak-anak agar mereka lebih berdisiplin ketika menggunakan internet.
Seterusnya, ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang Internet kepada anak-anak. Pendedahan ini adalah signifikan supaya mereka dapat mengetahui kebaikan dan keburukan Internet sewaktu akhlak mereka masih lagi boleh dibentuk seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini menyebabkan mereka akan lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi-aplikasi yang melibatkan penggunaan Internet. Ibu bapa juga perlulah menunjukkan sikap yang positif ketika menggunakan Internet di hadapan anak-anak dan mengajar mereka tentang penggunaan internet yang betul. Cuba kita bayangkan sekiranya anak-anak tidak diberikan pendedahan tentang Internet sewaktu usia mereka baru setahun jagung, berkemungkinan apabila dewasa kelak, mereka akan terikut-ikut dengan budaya budaya yang tidak bermoral daripada Internet. Natijahnya, pendedahan tentang Internet daripada ibu bapa kepada anak-anak akan dapat membantu dalam mengurangkan masalah penyalahgunaan internet.
Di samping itu, sebagai ibu bapa yang menyayangi anak-anak, mereka perlulah memantau anak-anak semasa mereka melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan Internet. Pada masa ini, pembelajaran menjadi lebih mudah dengan adanya capaian Internet. Pelbagai laman sesawang telah diwujudkan bagi kemudahan pembelajaran. Sekiranya, anak-anak kerap menggunakan Internet untuk menuntut ilmu, ibu bapa perlulah menyokong tindakan mereka itu. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak-anak tidak menggunakan buku untuk belajar malah mereka harus berbangga kerana anak-anak mereka merupakan generasi yang pintar dalam menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi. Hanya dengan cara ini, ibu bapa akan tahu sama ada anak-anak mereka menggunakan internet untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya.
Akhir kata, dapatlah disimpulkan bahawa peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan internet amatlah penting. Selain daripada itu, ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak daripada penjajahan minda dan dapat melahirkan anak-anak yang celik dalam penggunaan Internet. Apabila adanya generasi yang bijak dalam penggunaan internet, sudah pasti negara kita akan bertambah maju setanding dengan negara-negara yang lain. Sehubungan itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bijak, berakhlak serta dapat memajukan bangsa, agama dan negara. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, nasihat saya kepada ibu bapa di luar sana agar mereka memainkan peranan dalam penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak yang masih bersekolah.
Comments
Post a Comment