Karangan SPM - Anak Yang Berbakti Kepada Ibu Bapa

 Soalan :

Cara Menjadi Anak Yang Berbakti Kepada Ibu Bapa

Anak merupakan penghias yang sentiasa mewarnai sesebuah institusi keluarga.

Apakah cara untuk menjadi seorang anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya.


Isi :

  1. Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa
  2. Bertutur kata dengan baik
  3. Merawat orang tua di usia senja


Karangan :

     Ibu bapa merupakan tunjang dalam sesebuah institusi kulawarga. Mereka adalah individu yang sangat signifikan dan berharga dalam hidup seseorang insan yang bergelar anak. Tidak hairanlah apa sahaja gelaran yang digunakan tamsil ummi abi, emak ayah mahupun mama papa, mereka tetap merupakan orang yang sama tidak sesekali berganjak pangkatnya dalam sebuah keluarga. Ghalibnya, sebagai seorang anak, kita hendaklah sedar daripada tidur dalam celik bahawa salah satu cara untuk ke inderaloka adalah dengan berbakti kepada kedua orang tua kita. Kendatipun begitu, persoalan yang sering kali menerawang di gawang minda sehinggakan menjadi tanda tanya adalah bagaimanakah cara untuk menjadi seorang anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua kita?


     Diskusi perbincangan kita akan dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu seorang anak yang baik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan buat kedua orang tuanya. Sebenarnya, tidak rumit untuk menjadi seorang anak yang soleh dan solehah. Memang tidak dinafikan walau seinci pun bahawa doa merupakan senjata dan hadiah terbesar seorang yang bergelar muslim. Jangan jadikan tempat mahupun masa sebagai petualang untuk kita berdoa kepada ibu bapa kerana sedangkan kata-kata juga dianggap sebagai satu doa. Jika bercakap tentang jodoh, mesti akan ada yang sanggup berdoa di atas tikar sejadah sehingga menitiskan air mata. Namun begitu, kenapa tidak kerana ibu bapa? Adakah menjadi satu kesalahan bagi kita untuk berdoa agar kedua orang tua kita dipanjangkan umur dan dosa mereka diampunkan Allah? Atau kita lebih suka apabila mereka sudah tiada? Tepuk dada tanya selera. Anak-anak tidak seharusnya bersikap egosentrik sehingga melupakan kedua ibu bapa mereka. 


     Topik perbincangan kita akan dilebarkan lagi dengan memetik ajaran Nabi Muhammad S.A.W. kepada umatnya agar menghormati orang yang lebih tua. Sebagai analogi yang boleh saya ketengahkan ialah anak-anak hendaklah menggunakan tutur kata yang sopan dan lemah lembut ketika berbual. Mungkin kita terlalu lancar dalam bercakap, sedap dalam berkata, petah pula berbicara sehingga tak sedar ada yang terasa. Hal ini pula berhubung dengan hati dan perasaan orang yang mendengarnya. Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu? Kata orang, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar. Andai kata diri ini berasa tidak puas hati atas tindakan orang tua, janganlah sesekali meninggikan suara mahupun mengeluh. Biarlah buruk kain dipakai, asalkan pandai mengambil hati. Bukankah, bahasa mencerminkan bangsa?


     Langkah terakhir sebelum ditamatkan perbincangan ini ialah menjadi anak yang berbakti kepada kedua ibu bapa. Jika disebut tentang bakti pasti besar topiknya. Sehubungan dengan itu, skop lensa perbincangan akan kita perhalusi iaitu menjaga ibu bapa ketika usia senja. Sebenarnya tanggungjawab ini tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk membesarkan permata hati mereka. Amsalnya, andai kata ibu atau bapa kita uzur, kita perlulah menjaga mereka dan memberikan rawatan yang sepatutnya. Namun, padi yang diharap rupanya lalang yang tumbuh apabila terdapat segelintir jagatraya yang menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Jika ibu bapa mampu menjaga anak yang ramai namun belum tentu anak-anak mereka mampu membalasnya dengan menjaga kedua ibu bapa mereka.


     Konklusinya, jika kita adalah orang yang celik, kita akan sedar bahawa sebenarnya tidak susah untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak akan menjadikan kita entiti mithali di mata orang lain. Hidup kita akan sentiasa diredai dan diberkati oleh Sang Pencipta. Kita tidak boleh bersikap hedonisme sehingga lalai untuk menjalankan tanggungjawab kepada kedua ibu dan bapa. Janganlah seperti kacang lupakan kulit.

Comments

Popular posts from this blog