Karangan SPM - Penularan Wabak Pandemik Covid-19

 Soalan :

Langkah Mengekang Penularan Wabak Pandemik Covid-19

2019 adalah tahun yang mengemparkan seluruh rakyat dunia apabila virus yang dikenali sebagai Covid-19 mula menular. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan dan rakyat bagi mengekang Covid-19.

Sebagai rakyat yang sihat, bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan jangkitan wabak ini.


Isi :

  1. Kerap mencuci tangan
  2. Menjaga penjarakan sosial
  3. Memakai pelitup muka
  4. Mengkuarantinkan diri jika bergejala


Karangan :

     Pada era globalisasi ini, secara tiba-tiba kita digemparkan dengan wabak pandemik Covid-19 yang konotasi tertular pada Disember 2019. Kes ini tular bermula dari Wuhan, China kerana disebabkan oleh kesedaran masyarakat kini yang sudah tidak lagi mementingkan kesihatan dan kebersihan dengan memakan haiwan-haiwan eksotik. Bukan sahaja negara kita yang berdepan dengan wabak ini, malah seantero buana juga kini sedang memerangi pandemik ini. Kita sering kali memandang enteng tentang penularan yang sedang berlaku. Walaupun vaksin telah berjaya dihasilkan, namun perkara ini masih tidak dapat mengekang wabak ini secara keseluruhan. Jadi, kita mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Walaupun semakin hari kian pulih tetapi kita masih belum menang untuk memerangi wabak ini. Oleh itu, untuk sentiasa terhindar daripada terkena jangkitan, kita perlulah bersiap siaga bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan dengan mengamalkan langkah-langkah mengatasinya.


     Pada waktu yang sama, langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani wabak Covid-19 ialah kita perlu kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun. Hal ini demikian kerana interpretasi yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah kita akan mudah dijangkiti apabila tangan berada dalam keadaan yang kotor. Erti kata lain, kita mudah untuk dijangkiti melalui sentuhan tangan pada hidung dan mulut apabila kita tidak membersihkan telapak tangan dengan baik. Selain daripada itu, kita juga disarankan supaya sentiasa menggunakan sanitasi tangan selepas memegang sesuatu barangan. Sebagai analogi, tombol pintu, pemegang tangan eskalator dan tangga serta kita juga dilarang bersalaman dengan orang lain apabila bertemu. Hal ini akan mengakibatkan kita terdedah kepada risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan virus tersebut. Oleh itu, kita perlulah berhati-hati dan kerap membasuh tangan bagi memastikan keselamatan diri kita sentiasa terjaga.


     Lanjutan itu, langkah lain yang boleh kita ambil adalah dengan menjaga penjarakan sosial sejauh satu meter. Tambahan pula, penjagaan jarak sosial menjadi sangat penting ketika kita perlu keluar untuk membeli barang keperluan harian atau ke tempat kerja disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan. Kita digalakkan untuk sentiasa menjaga jarak serta berhati-hati sebagai langkah untuk berwaspada apabila berlakunya interaksi seperti berkomunikasi dan bersentuhan dengan orang lain. Hal ini demikian kerana, melalui percakapan dan sentuhan dengan individu lain yang menjadi kontak rapat secara tidak langsung menyebabkan kita mudah bergejala dan berisiko untuk dijangkiti bersama. Jika isu penjarakan sosial dipandang enteng oleh masyarakat, tidak mustahil bilangan orang yang dijangkiti wabak ini akan meningkat saban hari.


     Langkah lainnya ialah kita juga boleh mencegah jangkitan ini dengan memakai pelitup muka. Langkah penjagaan ini diseru berulang kali oleh KKM kepada masyarakat supaya memakai pelitup muka apabila sedang berada dalam keadaan sesak. Hal ini demikian kerana, virus ini mudah merebak melalui gejala batuk dan selesema. Sementelahan pula, hal ini amat disarankan kepada individu yang tidak sihat. Sekiranya kita memakai pelitup muka, kita dinasihatkan agar memakai pelitup muka pakai buang yang mempunyai tiga lapisan dan tidak disarankan memakai pelitup muka yang sebaliknya. Bukan itu sahaja, kita juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan pelitup muka yang sama berulang kali bagi tujuan menjaga kebersihan. Pemakaian pelitup muka merupakan langkah utama yang boleh kita signifikasikan dengan keadaan yang kita lalui setiap hari. Bak kata peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati.


     Ghalibnya, KKM dan Kerajaan Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan amsal majlis sosial, ekonomi, pendidikan dan aktiviti keramaian diberikan pelepasan tetapi perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan supaya kita kekal di rumah ketika kuarantin diisytiharkan bermula pada fasa pertama iaitu 18 Mac 2020 diikuti dengan fasa kedua pasa 24 Mac 2020. Namun kes ini belum tamat dan masih mendadak sehingga diisytiharkan darurat. Tetapi, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak peduli akan arahan ini sehingga menyebabkan peningkatan kes. Oleh hal yang demikian, kita semua dikuarantinkan sehingga fasa pemulihan iaitu bermula 10 Jun 2020 di mana sudah banyak peraturan dilonggarkan tetapi kita masih harus bertindak dengan mengikut SOP yang ditetapkan. Namun, banyak juga kelebihan yang dapat kita peroleh dengan berada di rumah ketika berlangsungnya fasa-fasa kuarantin. Tamsilnya, kita dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Inilah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama kerana sebelum ini kita asyik dengan kesibukan kerja. Selain itu, kita dapat menghargai masa kerana masa itu emas dengan heterogen aktiviti yang menyihatkan seperti bersenam dan berkebun. Impaknya, kita dapat menghindari diri daripada bertemu dengan orang awam dan dapat mengelakkan diri daripada risiko Covid-19.


     Konklusinya, kita perlu mengamalkan langkah penjagaan yang dikeluarkannya oleh KKM untuk memastikan kita sentiasa terhindar daripada terkena jangkitan seperti yang telah dikupas, kita perlu membasuh tangan menggunakan sabun dengan kerap serta menggalakkan penggunaan sanitasi tangan menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan kekal di rumah. Selain itu, kita juga perlu mengikut SOP yang ditetapkan ketika keluar dan berada dalam situasi yang sesak di tempat awam. Penutup wacana, kita perlu berusaha memerangi virus ini daripada terus menular dan slogan utama untuk menerangkan dengan mudah adalah sentiasa 'kita jaga kita'. Maka, tidak mustahil wabak pandemik ini dapat segera kita atasi dan kemenangan menentang Covid-19 menjadi milik kita.

Comments

Popular posts from this blog