Karangan SPM - Remaja Dalam Pembangunan Negara

 

Soalan :

Peranan Remaja Dalam Pembangunan Negara

Dalam sesebuah negara, remaja merupakan aset negara yang terpenting ke arah mewujudkan negara yang serba maju.

Bincangkan peranan mereka dalam pembangunan sesebuah negara.


Isi :

  1. Remaja perlu mendalami ilmu pengetahuan
  2. Remaja perlu mempunyai jati diri
  3. Remaja perlu mengamalkan gaya hidup sihat


Karangan :

    Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Aforisme yang ringkas dan padat ini konotasi menyedarkan kita betapa signifikannya remaja kepada negara. Sudah ratusan purnama kita menghela nafas kemerdekaan namun sekadar jasad yang bebas tetapi minda terbatas. Mentaliti remaja kini masih berada jauh di dasar dan memerlukan anjakan paradigma bagi membentuk jati diri mereka ke arah lebih baik seiring pembangunan negara. Berdasarkan tajuk, sudah terang lagikan bersuluh bahawa negara Malaysia mengatur langkah demi langkah bagi melakukan tranformasi ke arah modenisasi untuk mewujudkan negara yang serba sofistikated. Tiada guna bercincin emas tidak berjari. Jangan pula hanya berfikir akan air pasang sahaja. Rentetan itu, akan saya kupas satu demi satu hingga ke umbi modus operandi remaja dalam pembangunan negara untuk membuka mata masyarakat jagatraya sejenak.


     Lensa perbincangan kita dilayarkan dengan kata kunci kelas pertama berdasarkan fokus mauduk iaitu selayaknya remaja yang berjiwa pemimpin mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan bergelar akademiskus. Peredaran zaman tradisional ke arah moden telah menjadikan reformasi besar kepada negara buana dan murba. Kini, dengan adanya kuasa dihujung jari, remaja boleh melakukan kajian sendiri bagi menambah ilmu pengetahuan mereka. Tetapi, sedih yang dirasai apabila berlaku penyalahgunaan gajet dalam kalangan remaja. Remaja tidak pernah berfikir untuk memajukan diri mereka melainkan bersikap hedonisme. Sudahlah malas mencari, disuap pula enggan mengunyah. Perkara ini tidak ubah amsal hidup segan, mati tak mahu. Tepuk dada, tanya selera. Mungkin hanya ada satu dalam seribu orang yang berotak cair. Ilmu ibarat kandil, tanpa cahaya pasti kita menggapai dalam gelap. Sedarlah remaja, ini bukan fantasi tetapi realiti.


     Perbincangan kita digali dengan lebih mendalam bagi menampakkan modus operandi yang sudah lama terkambus iaitu jati diri. Ya! Jika kita katakan jati diri pasti ada yang menjawab bahawa semua orang mempunyai jati diri. Persoalannya, betapa teguh dan kuatnya jati diri dalam kehidupan remaja? Menilai seribu orang lebih mudah daripada diri sendiri. Kita mula alpa dan tidur dalam celik bahawa minda kita sering dijajah. Kini, berlaku akulturasi sehinggakan adat dan budaya dibunuh oleh bangsa sendiri. Kita katakan bahawa kita seorang yang berdisiplin tetapi tidak pernah menepati masa. Kita katakan bahawa kita seorang yang kukuh pegangan agama tetapi tidak pernah ke masjid. Kita katakan bahawa kita seorang yang cinta akan negara tetapi kita menyanjung budaya barat sehingga ada yang obses dengannya. Di mana letaknya jati diri kita sebagai remaja? Di mulut ya, di hati tidak. Bertitik tolak daripada itu, sekarang remaja perlu memasang niat untuk membentuk diri sebagai modal insan yang cemerlang. Jika bukan sekarang, bila lagi?


     Diskusi perbincangan kita dibentangkan lagi sebelum dilabuhkan tirainya ialah mengamalkan gaya hidup sihat. Memang tidak dinafikan dengan keadaan yang memaksa kita berada dirumah akibat pandemik Covid-19 sebenarnya bukanlah satu alasan bagi remaja. Bukalah minda, perkara ini bukanlah semata-mata melakukan aktiviti aktif tetapi aktiviti pasif juga boleh dilakukan di rumah. Jika kita petik tentang gaya pemakanan, remaja perlulah mengamalkan pemakanan gizi seimbang dengan menjauhi barangan terlarang serta alkohol. Kini, dengan mata kasar, masyarakat boleh melihat pergaulan bebas remaja di merata tempat. Ada antara remaja yang melepak berdua, berpegang-pegangan malah ada juga yang membonceng motosikal bersama. Hal inikah dikatakan batas pergaulan?Jikalau inilah rupa anak bangsa, nescaya bobrok negara buana. Tiada siapa ingin bergantung pada benang melainkan tali. 


     Jika berkayuh sudah sampai ke pulau. Jika mendaki sudah sampai ke puncak. Kita juga telah sampai ke penghujung perbincangan maya. Heterogen inti pati telah kita redah dan lihat segala solusi yang menerawang di minda dengan fikiran terbuka pastinya membuka mata remaja. Rekayasa relevan bagi kita mendalami segala inti pati untuk remaja semaikan dalam diri. Jika bukan remaja, siapa lagi yang perlu diharapkan? Jangan jadikan diri kita mudah bersikap tamsil apologestik. Akhir bicara, terkadang terselip rasa malas, namun cermin selalu berkaca. Siapa diri kita?

Comments

  1. Wow🙂 best karangan tu. Penyusunan ayat yang teratur + kosa kata indah🙃good job🌹

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog